ORANG kite ni Wak, kalau bab berteking memang tak dapat diusai. Padahal, belum tentu yang dibahas itu penting, tapi suaranya macam nak runtuh langit dibuatnya. Yang seorang cakap begini, yang lain cakap begitu. Yang duduk di hujung sana pulak menyampuk tak tentu arah, padahal dari tadi cuma numpang kopi sama kuih apam. Kadang saya tengok, sesama kita ni bukan main garang. Kalau ada salah sikit, mulailah muncung panjang sejengkal, mata tajam macam nak menebas lalang. Tapi bila berhadapan dengan orang luar, terkesop-kesop macam kera tercolet belacan. Hilang taring, tinggal senging.
Memang begitulah kadang perangai kita ni. Bila nyakap orang, bukan main lagi petahnya. Bibir sampai jongang jadinya, semua kerja orang salah. Semua keputusan orang tak kena. Tapi bila dia sendiri disuruh buat kerja, bernghesung nghesung. “Ban motor kempes lah, cuaca panas lah, anak demam lah, bini nyuruh beli bawang lah,” seribu satu alasan keluar macam air parit musim hujan. Tapi kalau ada maunya, melesou dia datang. Macam kucing nak beranak cari tempat nyaman.
Dalam lagu Masalah Kita, Atan Lasak pun sudah bercermin tentang perangai kita ni. Katanya:
Kita sama kita
bercekik bercekau
bertumbuk-tumbuk
orang lain bertepuk-tepuk
Nah Wak, itulah penyakit paling tua dalam kampung kita. Sesama sendiri sibuk berebut tempurung, padahal laut di depan mata luas terbentang. Orang lain sudah sibuk membangun gedung, buka kebun, kuasai perdagangan, kita masih lagi sibuk bergaduh pasal siapa yang paling Melayu. Sampai kadang pembangunan datang melambai-lambai, kita pula tidur berdengkur bawah pohon mempelam. Lepas tu marah sebab asap dapur tak mengepul. Ewah…!?
Padahal dalam tunjuk ajar Melayu, orang tua-tua dah lama mengingatkan: “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.” Maknanya, kalau nak jadi kuat, jangan asyik mencari salah sesama sendiri. Orang Melayu dulu bukan hebat sebab kuat bertengkar, tapi tersebab pandai bersatu. Dulu nenek moyang kita membangun kerajaan, membuka bandar, belayar sampai ke negeri orang. Mereka bukan jenis duduk di warung dari pagi sampai petang sambil mengutuk kerja orang.
Sekarang ni lain jadinya, Wak. Yang pandai dihina. Yang rajin dicari salahnya. Yang berjaya dituduh macam-macam. Sementara yang malas, dipeluk macam anak emas. Kalau ada orang nak mengajak buat kerja kampung, mulailah masing-masing lesap tak berkesan. Ada yang pura-pura tak nampak di grup WhatsApp. Tapi bila acara makan gratis dibuka, Masya Allah, sepeda motor bersusun macam antre minyak zaman krisis.
Kadang awak pikir, penyakit terbesar orang kite bukan miskin harta, tapi miskin sepakat. Kita ni cepat betul meradang. Sedikit-sedikit terasa tertantang. Sedikit-sedikit iri. Macam kata orang tua: “Bila dengki mula membaja, muafakat habis binasa.” Sebab itu tunjuk ajar Melayu mengingatkan: “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Bukan berat sama ditunjuk, ringan sama ditinggal.
Dan tulisan ni bukan nak menghina bangsa sendiri, Wak. Ini namanya otokritik. Orang Melayu mesti berani bercermin. Kalau muka berbedak tapi gigi penuh sirih, orang tetap nampak juga buruknya. Kalau kita asyik menyalahkan keadaan, menyalahkan orang lain, menyalahkan zaman, sampai kiamat pun tak berubah. Otokritik itu ibarat cermin di rumah lama, walaupun kacanya kusam, dia tetap menunjukkan mana dahi yang kena arang.
Orang tua Melayu dah lama mengajarkan,
“Yang tua dihormati, yang muda disayangi, yang sebaya dikasihi.” Kalau nilai ini hidup kembali, Insya Allah kita tak mudah berpecah. Tak mudah diadu domba. Tak mudah jadi batu api sesama sendiri. Sebab Melayu yang kuat bukan Melayu yang pandai berkokok di media sosial, tapi Melayu yang tahu menjaga marwah, bekerja sungguh-sungguh, dan sanggup berdiri bahu membahu.
Pada intinya Wak, Melayu tak pernah kurang pandai. Tak pernah kurang adat. Tak pernah kurang petuah. Yang kurang cuma satu, kemauan untuk betul-betul bersatu dan bergerak. Kalau nenek moyang dulu boleh mendirikan kerajaan besar dengan layar dan kompas bintang, masak kita pada hari ini kalah cuma gara-gara ego sebesar tempurung kelapa.
Penulis: Taufik Hidayat, pemimpin redaksi riaukepri.com.







