DALAM setandan kelapa, Wak, pastilah ada sebiji dua yang komeng. Sabutnya tebal, nampak besar dari jauh, tetapi tempurungnya kecil. Isinya pula entah ke mana. Kalau digoncang, bunyinya macam ada sesuatu. Dibuka, rupanya angin yang lebih banyak daripada santan.
Begitulah alam mengajar manusia. Tak semua yang nampak besar itu berisi. Tak semua yang pandai bercakap itu berilmu. Tak semua yang duduk di tempat tinggi itu tinggi pula manfaatnya. Ada yang kulitnya meyakinkan, gayanya menyakinkan, cakapnya berlapis-lapis, tetapi bila ditagih hasil, yang keluar cuma bunyi.
Orang tua-tua Melayu dahulu bukan sembarang membuat kias. Kelapa komeng dijadikan perumpamaan bukan untuk menghina buah, apatah lagi mencela manusia. Tetapi sebagai teguran, supaya manusia jangan sibuk membesarkan kulit, sedangkan isi tak pernah diusahakan.
Ada orang kalau bercakap, bukan main panjang. Kata-katanya berbelit macam akar kayu di hutan. Istilahnya tinggi, bahasanya berbunga, janjinya setinggi pucuk kelapa. Kalau didengar, boleh membuat orang lupa makan tengah hari. Tetapi bila ditanya, apa yang sudah dibuat? Apa hasilnya? Apa manfaatnya kepada orang ramai? Tiba-tiba sunyi. Macam radio kehabisan bateri.
Itulah yang orang Melayu sebut, besar sabut, kecil tempurung. Banyak gaya, kurang daya. Banyak sembang, sedikit sumbang. Banyak berjanji, kurang menjadi.
Namun, jangan pula kerana menemukan sebiji kelapa komeng, seluruh tandan hendak dibuang. Ini satu lagi penyakit manusia zaman sekarang. Seekor kerbau berkubang, semua kerbau dituduh membawa lumpur. Seorang berbuat salah, satu keluarga kena tempias. Seorang tersalah langkah, satu kaum pula dipandang serong.
Orang Melayu ada adatnya. Ada timbang rasa, ada timbang tara. Dalam Tunjuk Ajar Melayu, orang diajarkan supaya tahu membezakan antara seorang dengan sekumpulan, antara salah dengan benar, antara perangai dengan keturunan. Jangan kerana seekor nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kerana sebiji kelapa komeng, seluruh pokok ditebang.
Kalau ada yang komeng, asingkan yang komeng. Kalau ada yang rosak, perbaiki yang masih boleh diperbaiki. Kalau ada yang menyimpang, tegur dengan adab. Bukan semua hendak dihukum, bukan semua hendak dipersalahkan. Sebab adat Melayu bukan mengajar manusia menjadi pemarah, tetapi mengajar manusia menjadi penyabar, berpada-pada dan tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tetapi jangan pula salah faham. Jangan kerana hendak menjaga hati, kelapa komeng dibiarkan bercampur dengan kelapa yang elok. Nanti orang hendak membuat santan, semuanya jadi kerja sia-sia. Yang berisi tak dapat dimanfaatkan, yang kosong pula sibuk mengambil tempat.
Dalam hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam mengurus negeri, setiap orang ada tanggungjawab. Yang diberi amanah, tunjukkan hasil. Yang diberi kuasa, tunjukkan kerja. Yang diberi tempat, berikan manfaat. Jangan cuma pandai berdiri di hadapan, tetapi tak tahu membawa beban di belakang.
Sebab orang Melayu dahulu mengenal harga sesuatu bukan daripada kulitnya, tetapi daripada isinya. Pokok kelapa pun begitu. Dari pucuk sampai ke akar ada gunanya. Daunnya boleh dibuat atap, lidinya menjadi penyapu, sabutnya boleh dijadikan tali, tempurungnya menjadi perkakas, isinya menjadi santan dan minyak. Hampir seluruh batang tubuhnya memberi faedah.
Maka alangkah malangnya kalau manusia yang dikurniakan akal, ilmu dan kedudukan, tetapi hidupnya tidak membawa manfaat. Datang menambah sesak, pergi tidak meninggalkan bekas. Mulutnya meminta dihormati, tetapi tangannya tidak pernah bekerja. Hendak dipuji selalu, tetapi hendak menabur jasa entah bila.
Wahai orang-orang tua, didiklah anak-anak supaya menjadi kelapa yang berisi, bukan sekadar bersabut tebal. Wahai pemimpin, pilihlah orang berdasarkan ilmu, amanah dan kerja, bukan kerana pandai mengampu atau pandai menyusun kata. Wahai orang muda, jangan berbangga dengan kulit yang elok kalau isi belum ada.
Dan kepada yang merasa dirinya kelapa komeng, jangan pula berkecil hati. Kelapa komeng pun masih boleh menjadi pengajaran. Kalau tak mampu memberi santan, sekurang-kurangnya jangan menyusahkan orang yang hendak memerahnya. Kalau belum banyak isi, belajarlah mengisi diri. Jangan pula mempertahankan kekosongan dengan seribu alasan.
Akhirnya, dalam setandan kelapa memang ada yang komeng. Itu lumrah alam. Tetapi jangan sampai yang komeng pula hendak menentukan harga seluruh tandan. Jangan pula yang berisi disisihkan, yang kosong diberi tempat paling tinggi.
Kata orang tua-tua Melayu, elok rupa kerana kulit, elok manusia kerana budi. Tinggi batang kerana tumbuh, tinggi martabat kerana isi.
Jangan gegera sebiji yang komeng, setandan dibuang. Cukuplah asingkan yang komeng. Yang elok terus dimanfaatkan, yang kurang elok diberi pengajaran.
Sebab negeri ini bukan kekurangan kelapa. Yang kita perlukan ialah manusia yang ada isi, tahu berbudi dan mengerti amanah.
Kalau semua hendak jadi sabut, siapa pula yang hendak menghasilkan santan? Hidup bukan soal nampak besar, Wak. Tetapi soal seberapa banyak isi yang dapat dibahagikan kepada orang lain.
Penulis: Taufik Hidayat, pemimpin redaksi riaukepri.com.












