KERAK yang tak tahu malu. Di kampung kami, Wak, ada satu perkara yang cukup menggelikan hati. Daun ubi yang elok, hijau dan subur, tiba-tiba diselaputi lapisan putih dan hitam. Orang kampung menyebutnya koye, kalau orang kota cakap polusi. Koye bukan debu biasa, bukan pula tanah yang tersiprat hujan. Ia kerak yang tumbuh perlahan-lahan, melekat kuat, sampai warna asli daun pun tak kelihatan.
Koye ini datang tak seorang diri. Ada kutu yang mula-mula menghisap sari kehidupan daun. Setelah kenyang, ditinggalkannya cairan manis. Cairan itulah yang kemudian mengundang jamur putih dan hitam untuk berpesta. Debu pula datang menumpang, semut ikut berpesta. Lama-lama, daun ubi yang tadinya segar berubah rupa macam cerobong dapur lama.
Begitulah perangai koye. Yang menghisap bukan dia yang menanggung akibat. Yang mengeluarkan kotoran bukan dia pula yang membersihkan. Malah, setelah segala sari kehidupan disedut, dia masih sempat meninggalkan kerak sebagai tanda mata.
Kalau sudah begitu, jangan salahkan daun ubi. Daun itu tak pernah meminta dikotori. Ia cuma ingin tumbuh, menerima cahaya matahari, memasak makanan untuk kehidupan, lalu membesarkan umbi di dalam tanah.
Tetapi bagaimana hendak berfotosintesis kalau seluruh permukaan daun ditutup koye? Cahaya tak sampai, udara terasa sesak, pertumbuhan membantut. Dari luar nampak pokok masih berdiri, daunnya masih berjuntai, tetapi di bawah tanah umbinya kecik nonet, sebesar jari kelingking.
Dalam adat Melayu, orang tua-tua selalu mengingatkan, jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya berkubang. Sebab itulah orang yang hidup dalam masyarakat perlu tahu batas. Jangan menjadi pembawa kotoran, kemudian berlagak sebagai penyubur tanaman.
Koye ini ada pula tabiat yang lebih ajaib. Ia suka menempel. Selagi ada tempat melekat, di situlah ia bertahan. Kalau ada cairan manis, datanglah ia. Kalau ada tempat teduh, bersaranglah ia. Kalau ada permukaan yang boleh ditumpangi, jangan harap ia mahu pergi dengan sukarela.
Paling lucu, koye tak pernah mengaku dirinya kotor. Kalau ditegur, mungkin ia berkata, dirinya cuma lapisan pelindung masyarakat. Kalau disuruh turun, ia merasa sedang dizalimi. Kalau dibersihkan, dianggap orang tidak mengenang jasa.
Padahal, wak, tanpa koye, daun boleh bernafas lebih lega. Di sinilah letak kepandaian koye. Ia bukan sekadar merusak daun tetapi juga pandai membuat dirinya seolah-olah diperlukan. Ia menempel begitu lama sampai orang lupa bagaimana rupa daun sebelum dikotori.
Ada pula semut yang rajin menjaganya. Bukan kerana sayang kepada daun, tetapi kerana ada manisan yang boleh dinikmati. Selama cairan manis tersedia, semut akan datang silih berganti. Mereka berkawan bukan atas dasar kesuburan tanaman, melainkan kerana sama-sama mendapat keuntungan.
Orang Melayu menyebut perangai semacam ini sebagai ada udang di sebalik batu. Di depan nampak bersahabat, di belakang sibuk menjaga sumber keuntungan.
Maka jangan hairan kalau sebuah kebun menjadi hitam bukan kerana tanahnya buruk, tetapi kerana terlalu banyak makhluk yang mengambil kesempatan.
Yang paling penting, membersihkan koye bukan sekadar mengelap permukaan daun. Kalau kutunya masih hidup, kerak putih dan hitam akan datang lagi. Kalau sumber cairan manis tidak dihentikan, jamur akan terus berpesta. Kalau semut masih sibuk menjaga kutu, jangan berharap kebun kembali bersih.
Kena cari puncanya, bukan sekadar mengilatkan permukaan. Begitu pula dalam kehidupan. Ada kotoran yang tidak selesai dengan sapu lidi. Ada kerak yang tidak tanggal dengan air hujan. Ada pula yang mesti dibersihkan sampai ke pangkal tempat ia menempel.
Orang tua-tua berpesan, kalau hendak membersihkan rumah, jangan cuma menyapu halaman, sedangkan dapur masih penuh jelaga. Sebab koye yang dibiarkan terlalu lama akan merasa dirinya sebahagian daripada daun. Ia lupa bahwa daun sudah hidup jauh sebelum dirinya datang menumpang.
Dan satu perkara yang perlu diingat, Wak: daun ubi tidak pernah menjadi koye hanya kerana tubuhnya diselaputi koye.
Yang hitam itu lapisannya, bukan asal-usulnya. Yang merusak itu tempelannya, bukan kehidupan yang ditumpanginya.
Akhir kalam, wahai segala koye di muka bumi, ingatlah baik-baik. Jangan terlalu lama menempel sampai lupa diri. Jangan terlalu kenyang menghisap sampai lupa sumber kehidupan. Jangan pula merasa berkuasa hanya kerana sudah berhasil menutupi permukaan. Sebab daun boleh dibersihkan. Kutu boleh dibasmi. Semut boleh dihalau.
Dan apabila cahaya matahari kembali menyentuh daun, barulah kelihatan siapa sebenarnya yang selama ini menyuburkan kehidupan, dan siapa pula yang cuma pandai menumpang sambil meninggalkan kotoran.
Jangan sampai koye merasa dirinya daun. Jangan sampai kerak mengaku sebagai mahkota. Sebab dalam adat Melayu, setinggi mana pun seseorang menumpang, jangan lupa: yang menumpang tetap menumpang. Yang berakar tetap berakar.
Elok-elok menjaga marwah, jangan pula menjadi koye yang mencemarkan sekebun kehidupan.
Penulis: Taufik Hidayat, pemimpin redaksi riaukepri.com.












