Menu ✖

Otomatis
Breaking News

Minda

Lima Rupiah

badge-check

Ilustrasi. Perbesar

Ilustrasi.

SEJAK kecik, emak dan ebah sudah mengajar kami satu perkara, kalau menolong orang jangan mengharap upah. Menolong kerana tenaga, jangan pula dipatok nilainya, belum siap menolong, sudah sibuk menghitung bayaran.
Kalau orang memberi dengan ikhlas, terimalah. Kata emak, itu rezeki. Tapi jangan pula tangan kita lebih laju daripada hati orang. Sebab rezeki itu ada jalannya, ada adabnya, ada berkatnya.

Pernah suatu hari, ebah menyuruh abang pergi ke kedai membeli sesuatu. Duit diberikan pas-pasan, tetapi ebah tahu betul ada kembalian lima rupiah.

Ketika itu lima rupiah bukan persoalan besar atau kecilnya. Bagi ebah, lima rupiah tetap lima rupiah. Kecil nilainya, besar amanahnya.

Selesai membeli, abang bertemu kawan. Kawan sudah menunggu hendak bermain bola kaki di lapang. Maklumlah budak-budak, kalau sudah nampak bola, dunia pun boleh dilupakan. Kedai, duit, kembalian, bahkan pesan ebah pun boleh hilang dari ingatan.

Abang pun balik ke rumah ketika matahari sudah condong ke barat. Badan berlumpur, celana berkubang, muka macam baru keluar dari parit. Dalam fikiran cuma satu, mandi di perigi belakang rumah, kemudian sambung hidup. Tetapi baru hendak melangkah ke perigi, suara ebah memanggil.
“Bang!”

Langkah pun berhenti. Dalam hati mungkin sudah terasa macam terdakwa dipanggil hakim. “Mana duit lima rupiah tadi?”

Abang menjawab dengan santai, “Oh, lupa nak kasih tahu, Bah. Orang kedai tak ada duit kecil. Jadi dikasih gula-gula.”

Mungkin bagi abang perkara itu selesai. Lima rupiah sudah berubah menjadi gula-gula. Sama-sama kecil. Sama-sama boleh masuk mulut. Tetapi bagi ebah, persoalannya bukan gula-gula. Persoalannya kejujuran.

Maka turunlah hukuman. Abang kena pukul. Bukan kerana lima rupiahnya hilang. Bukan pula kerana gula-gula itu dimakan. Abang kena pukul kerana dari awal tidak berkata benar. Kalau sejak pulang dari kedai abang terus berkata, “Bah, duit lima rupiah dikasih gula-gula sebab kedai tak ada duit kecil,” mungkin cerita selesai. Tetapi kerana diam dan baru menjawab setelah ditanya, perkara kecil berubah menjadi perkara besar.

Begitulah cara orangtua dahulu mengajar. Mereka tidak perlu seminar integritas, tidak perlu spanduk bertuliskan “Jujur Itu Hebat” apatah lagi powerpoint sampai berpuluh-puluh halaman. Cukup sebatang rotan dan satu pesan yang melekat sampai tua.

Sampai sekarang, peristiwa lima rupiah itu masih terkenang. Lucunya, yang tinggal bukan pedih pukulannya, tetapi pedih pengajarannya. Rupanya harga kejujuran tidak pernah diukur dari besar kecilnya uang.

Adat orang Melayu mengajar, hidup mesti tahu hak orang. Kalau bukan milik kita, jangan diambil. Kalau amanah di tangan, jangan disimpan untuk kepentingan sendiri. Kalau menolong, jangan pula menolong sambil memasang tali untuk mengikat orang yang ditolong.

Sebab itu orang tua dahulu sangat takut mengambil hak orang. Mereka lebih rela hidup sederhana daripada kenyang dengan sesuatu yang bukan haknya. Marwah dijaga, amanah dipelihara, kerana malu kepada manusia boleh hilang, tetapi malu kepada Tuhan jangan sampai hilang.

Kini zaman sudah berubah. Lima rupiah mungkin sudah tidak cukup membeli gula-gula. Tetapi perangainya jangan sampai ikut berubah. Jangan kerana jumlahnya besar, lalu kejujuran menjadi kecil.

Ada orang bekerja keras, orang lain pula yang mengambil hasilnya. Ada yang memegang amanah, tetapi amanah diperlakukan macam harta pusaka sendiri.
Korupsi pula kadang-kadang tumbuh subur, macam jamur di atas kerakap, asal ada tempat lembap, tumbuh lagi dan tumbuh lagi.

Maka teringatlah pesan emak dan pukulan ebah, jangan pernah menolong orang kerana mengharap pamrih, dan jangan pernah mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Sebab lima rupiah boleh habis dibelanjakan, gula-gula boleh habis dimakan, tetapi kejujuran yang hilang boleh susah dicari gantinya.

Itulah tunjuk ajar Ebah san Emak, Wak. Mereka tidak meninggalkan harta berjuta-juta, tetapi meninggalkan bekal yang lebih mahal, tahu malu, tahu adat, tahu hak orang, dan tahu bahwa rezeki yang sedikit tetapi halal lebih baik daripada banyak tetapi membawa sesal.

Penulis: Taufik Hidayat, pemimpin redaksi riaukepri.com.

Facebook Comments Box

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

Belum ada komentar disini
Jadilah yang pertama berkomentar disini
Baca Lainnya

Tahniah, Siak Juara Umum PORSENIJAR 2026, Raih 7 Emas

26 Sep 2026 - 11:47 WIB

Tahniah, Siak Juara Umum PORSENIJAR 2026, Raih 7 Emas

Mantap: Zapin Riau Berpeluang Menjadi Warisan Budaya Takbenda Dunia

26 Sep 2026 - 10:19 WIB

Mantap: Zapin Riau Berpeluang Menjadi Warisan Budaya Takbenda Dunia

Adat Kaca

26 Sep 2026 - 05:54 WIB

Adat Kaca

Syamsurizal: IKON Syair Perang Siak Jadi Catatan Sejarah Baru Siak dan Riau

25 Sep 2026 - 13:34 WIB

Syamsurizal: IKON Syair Perang Siak Jadi Catatan Sejarah Baru Siak dan Riau

Di Depan Anak-anak SMA, LAMR Ceritakan Jejak Dua Abad Syair Perang Siak

25 Sep 2026 - 11:56 WIB

Di Depan Anak-anak SMA, LAMR Ceritakan Jejak Dua Abad Syair Perang Siak
Trending di Pekanbaru