Bila berkuasa membisu, bila tak berkuasa mendadak petah bercakap.
KALAU mike nak tahu, Wak, ada orang kalau dah naik ke atas panggung, berdiri di hadapan mikrofon, lidahnya mendadak kelu. Nak bercakap macam menelan buah kedondong, nak bersuara macam tekak disumbat pulut basi. Padahal, waktu itu semua telinga sedang menunggu, semua mata sedang memandang. Tapi, satu patah kata pun susah nak keluar. Entah takut salah, entah takut kuasa terganggu, entah takut periuk nasi sendiri ditendang orang.
Tapi, cubalah tengok bila die dah turun dari panggung, Wak. Mikrofon tak ada, kuasa pun dah tak di tangan, eh, bukan main panjang pula lidahnya. Semua benda nak dikomen, semua perkara nak dikritik, semua orang nampak salah. Yang dulu diam macam ikan setanding, sekarang bercakap macam murai tercabut ekor. Naik loye tekak aku mendengarnya, Wak. Bukan setakat loye, sampai teringat air asam limau!
Begitulah perangai sebagian orang yang pernah merasa duduk di kerusi empuk kekuasaan. Waktu berkuasa, jangan ditegur, jangan dikritik, jangan pula dibantah. Baru orang datang membawa laporan masalah rakyat, mukanya dah berkerut macam limau perut.
Telinge tipis. Belum habis cerita, anak buah pula yang kena. Belum tentu salahnya di mana, tahu-tahu surat nonjob sudah sampai. Yang membawa berita dianggap membawa petaka, yang mengadu masalah dituduh mencari gara-gara. Padahal, Wak, orang tua-tua Melayu dah lama mengajar melalui bidalan: raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Maknanya, kuasa bukan untuk menutup telinga. Pemimpin bukan manusia yang maksum, tak pernah silap dan tak boleh ditegur. Kalau semua orang mesti mengangguk, untuk apa ada penasihat? Kalau semua laporan dianggap menghasut, untuk apa dibentuk jabatan? Kalau orang bercakap benar dianggap musuh, alamat negeri sedang dipimpin oleh telinga yang lebih tipis daripada kulit bawang. Adoi…
Dalam adat Melayu, Wak, tinggi bukan kerana pangkat, besar bukan kerana kuasa. Orang dipandang tinggi kerana budi, orang dikenang besar kerana jasa. Ada marwah yang mesti dijaga, ada amanah yang mesti dipikul, ada rakyat yang mesti dibela.
Sebab itu, tunjuk ajar orang tua-tua bukan sekadar perhiasan di majelis adat. Ia pedoman supaya yang berkuasa tidak lupa diri, yang berilmu tidak meninggi, dan yang bersuara tidak kehilangan malu.
Tapi, anehnya, selepas kuasa terlepas dari tangan, barulah lidah menjadi merdeka. Segala kelemahan yang dulu tak nampak, sekarang terbentang macam tikar pandan di balai adat. Segala kebijakan yang dulu tak terlintas, kini keluar bertali arus. Begini sepatutnya, begitu seharusnya, kalau aku dulu tentu lain jadinya.
Aduhai, Wak! Kalau semua perkara boleh diselesaikan dengan bercakap selepas tak berkuasa, eloklah kita lantik tukang pidato jadi pemimpin, bukan orang yang sanggup memikul tanggungjawab.
Cuma, jangan pula kita salah faham. Orang yang sudah kehilangan jawatan tetap berhak bercakap. Pengalaman mereka mungkin berguna, teguran mereka mungkin benar, malah ada kalanya pandangan orang di luar kuasa lebih jernih daripada orang yang sedang memegang kuasa. Negeri ini bukan hak eksklusif sesiapa. Kritik itu perlu, nasihat itu penting. Yang menjadi masalah ialah apabila suara yang dahulu membisu ketika diperlukan, tiba-tiba menjadi paling nyaring selepas tak lagi berupaya membuat keputusan.
Orang Melayu ada pantun:
Kalau berdayung ke Kuala Muda,
Jangan dilupa si kayu ara;
Kalau dahulu diam seribu bahasa,
Mengapa sekarang riuh bicara?
Wak, inilah yang orang tua-tua maksudkan: ketika boleh bercakap, tak hendak bercakap; ketika sudah tak boleh menentukan apa-apa, sibuk pula bercakap. Macam orang yang memegang payung ketika panas, tetapi menyalahkan hujan setelah payungnya dipinjam orang.
Bila berkuasa, peluang terbentang luas, tapi lidah dikunci. Bila kuasa sudah pergi, barulah semua perkara hendak dibetulkan. Bukan tak boleh menegur, tetapi eloklah ditanya juga ke mana perginya keberanian ketika amanah masih berada dalam genggaman.
Dalam adat dan budaya Melayu Riau, bercakap bukan semata-mata soal petah lidah. Ada adabnya, ada timbang rasanya, ada benar salahnya. Kata-kata mesti beralas, teguran mesti berasas, dan nasihat mestilah membawa faedah. Bukan asal berbunyi, bukan asal orang mendengar. Sebab itulah orang tua-tua berpesan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Pemimpin yang baik bukan yang pandai berpidato sahaja. Dia mesti berani mendengar perkara yang tak sedap didengar. Berani menerima teguran yang menusuk telinga. Berani mengakui kesalahan sendiri sebelum sibuk menghitung kesalahan orang lain. Sebab kuasa itu sementara, Wak. Hari ini kita duduk di kursi empuk, esok lusa mungkin duduk di bangku belakang. Hari ini orang mengangkat tangan memberi hormat, esok belum tentu orang sudi menoleh.
Jadi, kalau mike nak jadi pemimpin, bercakaplah ketika suara mike diperlukan. Bersuara untuk kejujuran, bersuara untuk kebenaran, bersuara untuk kepentingan masyarakat. Jangan hanya berani ketika tak ada lagi keputusan yang perlu dibuat. Jangan pula ketika berkuasa, rakyat mengadu dianggap mengganggu, tetapi selepas tak berkuasa, setiap hari sibuk mengadili.
Sebab pemimpin yang terkesop bukan sekadar pemimpin yang gagal bercakap ketika berkuasa. Pemimpin yang terkesop ialah pemimpin yang lupa bahwa kuasa itu amanah, bukan mahkota untuk meninggikan diri. Dan apabila kuasa sudah berlalu, janganlah pula sibuk menimba dosa kering dengan mengukur pemimpin yang ada menggunakan pembaris kepentingan sendiri.
Ingatlah, Wak, lidah memang tak bertulang, tetapi setiap sepatah kata tetap ada timbangannya. Kalau dulu diam kerana takut kehilangan kuasa, jangan sekarang bising semata-mata kerana kehilangan kuasa. Negeri ini tak kekurangan orang pandai bercakap. Yang negeri ini perlukan ialah orang yang berani bercakap benar ketika berkuasa, dan tetap jujur ketika kuasa sudah tiada.
Kalau tidak, loye tekak dibuatnya, Wak. Bukan kerana orang bercakap banyak, tetapi kerana terlalu banyak kata yang keluar selepas amanah tak lagi berada di tangan.
Penulis: Taufik Hidayat, pemimpin redaksi riaukepri.com.












